Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    INCUFEST 2024 labuh tirai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Dalam usaha untuk memajukan pendidikan keusahawanan, adalah amat penting untuk menyelaraskan inisiatif inovasi Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan keperluan industri.

    Justeru, penglibatan dan maklum balas yang diterima oleh para pelajar dan pempamer daripada pelawat serta rakan kongsi industri adalah amat berharga di mana pandangan mereka sangat penting untuk memastikan projek inovasi para pelajar adalah selaras dengan keperluan industri.

    Semua itu akan membolehkan UBD untuk menyediakan pendidikan inovasi dan keusahawanan sebaik mungkin, jelas Pemangku Penolong Naib Canselor bagi Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan, Profesor Madya Pengiran Dr Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra, dalam ucapannya di Majlis Penutupan INCUFEST 2024 yang berlangsung di Bangunan Pusat Pelajar, UBD, hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Dalam ucapannya lagi, Profesor Madya Pengiran Dr Mohamad Iskandar memuji usaha para pelajar daripada pelbagai fakulti dalam pembangunan prototaip aplikasi khususnya pelajar dari Sekolah Sains Digital (SDS), UBD. Beliau turut menyatakan tahniah kepada empat projek inkubasi atas kejayaan mereka dalam Reach Pitch Competition yang dianjurkan oleh 673 start up di bawah Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB).

    Pencapaian mereka itu, tambahnya, menunjukkan prestasi kukuh UBD bersaing dengan 14 buah pasukan lain dari institusi-institusi pengajian tinggi Brunei.

    Pada majlis berkenaan, Dr Hazri telah menyempurnakan penyampaian anugerah kepada Best Exhibitor bagi World Dementia Month at UBD-BSAI from the Perspective of Social Science: An Opportunity for Interdisciplinary Collaboration dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS).

    Beliau juga menyampaikan sijil kepada pemenang-pemenang bagi Best Innovative Projects iaitu Smart Fresh, NetJaga, Hijrah dan Hasil. INCUFEST 2024 yang dikendalikan oleh Pejabat Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan (IEED), UBD, merupakan acara selama empat hari yang meraikan inovasi, keusahawanan dan kreativiti.

    Acara itu menyediakan platform bagi inovator muda untuk menyampaikan idea mereka dan berhubung dengan pemimpin-pemimpin industri. UBD kekal berdedikasi untuk memupuk bakat tempatan, memacu inovasi dan menyokong keusahawanan sebagai pemangkin bagi perkembangan ekonomi.

    Dr Hazri semasa menyempurnakan penyampaian sijil kepada pemenang Best Innovative Projects. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dr Hazri semasa menyempurnakan penyampaian sijil kepada pemenang Best Exhibitor. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda