Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Inda terlalu awal, inda terlalu lambat’

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Kira-kira 60-70 peratus kes penyakit Alzheimer adalah penyebab utama bagi demensia.

    Penyakit Alzheimer adalah keadaan neurologi progresif yang menjejaskan ingatan, pemikiran dan tingkah laku yang akhirnya dapat membawa kepada kemerosotan kognitif yang teruk dan kebergantungan.

    “Walaupun umur adalah faktor risiko yang paling ketara, namun penyakit Alzheimer bukanlah sebahagian daripada proses penuaan yang normal.

    “Genetik, faktor gaya hidup dan kesihatan keseluruhan juga boleh menyumbang kepada perkembangan penyakit ini,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar-Kementerian Kesihatan) dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Demensia/ Alzheimer Sedunia.

    Menurut Alzheimer’s Disease International, mengubah suai semua faktor risiko mungkin boleh menghalang atau menangguhkan 40 peratus kes demensia.

    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    “Statistik ini membuktikan bahawa pencegahan dan pengawalan di setiap peringkat individu, masyarakat dan persekitaran mempunyai potensi yang besar dalam mengurangkan risiko demensia,” ulasnya.

    Beliau menyatakan antara faktor yang dikaitkan dengan perkembangan demensia adalah faktor semula jadi seperti peningkatan usia dan faktor yang boleh diubahsuai seperti amalan cara hidup. “Faktor risiko tersebut mempunyai ciri-ciri yang berhubung kait dengan penyakit demensia dan ia boleh terjadi sebelum individu itu disahkan menghidap demensia secara klinikal.

    “Walau bagaimanapun, faktor risiko demensia adalah berbeza di antara individu,” tekannya lagi.

    Mengambil kira keperluan yang tinggi untuk memahami faktor risiko demensia, Hari Alzheimer Sedunia yang disambut setiap 21 September merupakan salah satu peluang penting untuk meningkatkan kesedaran, menangani salah tanggapan dan menggalakkan pemahaman tentang penyakit berkenaan.

    Sambutan tahun ini membawa tema ‘Inda Terlalu awal, Inda terlalu lambat’ yang menekankan peranan penting dalam mengenal pasti faktor risiko demensia dan mengguna pakai langkah pengurangan risiko yang proaktif untuk menangguhkan dan mencegah terjadinya demensia dalam kalangan masyarakat.

    “Ini termasuk dalam melaksanakan strategi pengurangan risiko yang berterusan bagi individu yang telah menghidap penyakit demensia. Hari Alzheimer Sedunia juga berfungsi sebagai satu platform untuk kerajaan, organisasi dan individu untuk bekerjasama dalam penyelidikan, pencegahan dan inisiatif penjagaan,” tambah beliau.

    Beliau menyatakan, walaupun kesedaran terhadap penyakit demensia dan kesihatan otak semakin meningkat, namun ia belum cukup kuat untuk mengukuhkan amalan pencegahan penyakit demensia.

    Beliau berkata, antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko demensia ialah kekal aktif dengan melakukan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu, mengamalkan pemakanan yang sihat seperti makanan kaya dengan bijiran, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan kekacang serta mencabar kecerdasan otak dapat membantu membina neuron otak baru dan mengukuhkan hubungan antara neuron.

    Perkara lain bagi mengurangkan risiko adalah menikmati aktiviti sosial supaya dapat merangsang kapasiti otak, menjaga kesihatan jantung dan mengawal tekanan darah tinggi termasuk tidak merokok serta mendapatkan saringan kesihatan dengan lebih awal juga memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan risiko demensia dan penyakit tidak berjangkit yang lain.

    Dalam meningkatkan kebolehcapaian terhadap sistem kesihatan bagi semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato menyatakan Kementerian Kesihatan akan sentiasa memberikan rawatan yang berkualiti tinggi dan melaksanakan inisiatif pencegahan dan pengawalan yang lebih kos-efektif mengenai demensia.

    “Pendekatan whole-of-society yang diterapkan dengan kerjasama pelbagai agensi di negara ini juga telah membuka peluang bagi Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran terhadap demensia.

    “Kementerian Kesihatan tidak kendur-kendur berganding bahu dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Demensia Brunei dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pengurangan risiko demensia dan meningkatkan kemahiran penjagaan demensia dalam kalangan pesakit dan penjaga mereka,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda