Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Sebahagian perniagaan mempunyai sentimen pesimistik dengan jualan yang lebih rendah selepas musim perayaan dan perbelanjaan rentas sempadan yang menjejaskan jualan domestik.
Tetapi pandangan adalah berlainan mengikut sektor dan hasil kaji selidik menunjukkan sebahagian peniaga merasa optimistik atas jangkaan prestasi yang lebih baik dengan projek-projek baharu serta peningkatan jualan kerana inventori yang mencukupi dan promosi produk dan perkhidmatan yang baharu.
Dapatan itu adalah daripada Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) bagi Negara Brunei Darussalam untuk Jun 2023 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini.
Sub-indeks Keadaan Perniagaan iaitu indeks utama BSI adalah 50 bagi Jun 2023 yang lebih kurang sama seperti bulan sebelumnya.
Memandang ke hadapan, sentimen bagi Julai 2023 adalah lebih optimistik berbanding Jun di tahap BSI 50.6.
Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi Jun 2023, 50.1 untuk satu bulan di hadapan dan 50.2 bagi tiga bulan ke hadapan menunjukkan secara amnya, para peniaga menjangka akan meningkatkan tahap perbelanjaan pelaburan pada Jun 2023 dan beberapa bulan selepasnya.
Sementara itu, Sub-Indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.3 bagi Jun 2023 dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan di mana perniagaan menjangka akan meningkatkan jumlah pekerja pada Jun dan Julai 2023 atas perkembangan perniagaan.
Sub-indeks lain termasuklah Sub-Indeks Kos Perniagaan pada tahap 50.3 bagi Jun 2023 dan 49.6 bagi satu bulan ke hadapan. Bagi Julai 2023, sub indeks kos perniagaan adalah lebih rendah kerana beberapa perniagaan bersaiz besar menjangkakan kos operasi dan penyelenggaraan serta barang mentah yang lebih murah.