Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Bagi bulan November 2023, indeks bukan makanan menunjukkan penurunan sebanyak 0.3 peratus berbanding bulan November 2022 manakala indeks makanan dan minuman ringan meningkat 2.1 peratus.
Secara keseluruhan, Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 0.2 peratus.
Menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, penurunan tahun-ke-tahun bagi indeks bukan makanan berkenaan adalah terutamanya disebabkan oleh penurunan harga perhubungan (3.1 peratus), khususnya caj perkhidmatan telefon dan telefaks selaras dengan tawaran promosi bagi pelan perkhidmatan Internet; dan pengangkutan (2 peratus) terutamanya harga kenderaan bermotor dan tiket penerbangan.
Manakala peningkatan bagi indeks makanan dan minuman ringan terutamanya disebabkan kenaikan harga minuman ringan (11.3 peratus), khususnya minuman rendah gula yang sedia untuk diminum; dan beras dan bijirin (2.5 peratus), disebabkan harga bahan-bahan mentah yang terus meningkat terutamanya bagi kek, pastri dan biskut.
JPES turut mengongsikan jika dibandingkan dengan bulan Oktober 2023, harga bukan makanan turut menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 peratus manakala peningkatan harga makanan dan minuman ringan adalah sebanyak 0.4 peratus. Secara keseluruhan, IHP menunjukkan peningkatan sebanyak 0.02 peratus.
Penurunan bulan-ke-bulan bagi indeks bukan makanan berkenaan terutamanya disumbangkan oleh penurunan harga rekreasi dan kebudayaan (0.7 peratus) dan pakaian dan kasut (0.7 peratus). Sementara itu, peningkatan bagi indeks makanan dan minuman ringan terutamanya disumbangkan oleh kenaikan harga sayur-sayuran (1.6 peratus); dan daging (0.6 peratus).
IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.
Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.
Bagi yang ingin mengetahui laporan penuh IHP bagi bulan November 2023 boleh melayari laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.
