Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) Negara Brunei Darussalam bagi suku pertama 2020 menunjukkan penurunan sebanyak 0.5 peratus tahun-ke-tahun kepada 91.1 berbanding suku pertama 2019 serta penurunan sebanyak 4.3 peratus berbanding suku keempat 2019.
Indeks berkenaan diterbitkan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, di mana indeks dihasilkan dengan data-data yang diperoleh dari bank-bank di Negara Brunei Darussalam serta diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).
Kenyataan menyatakan bahawa berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman yang diperoleh daripada bank-bank, sebanyak 76 transaksi pembelian hartanah kediaman telah dicatatkan pada suku pertama 2020.
Kebanyakan transaksi berkenaan adalah bagi pembelian rumah kembar (semi-detached) iaitu 32.9 peratus, diikuti dengan rumah detached iaitu 30.3 peratus, rumah teres iaitu 18.4 peratus dan pangsapuri iaitu 18.4 peratus.
Kenyataan turut menyatakan bahawa tiada transaksi bagi tanah telah dicatatkan bagi suku pertama 2020.
Manakala itu, harga median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman bagi tempoh suku pertama 2020 ialah $249,000 iaitu peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding suku pertama 2019 dan 3.5 peratus lebih rendah berbanding suku keempat 2019.
Kenyataan menyatakan bahawa harga median pada tempoh suku pertama 2020 bagi pembelian rumah detached ialah $300,000, bagi rumah berkembar ialah $260,000, bagi rumah teres ialah $176,750 dan bagi pangsapuri ialah $232,000.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung pada indeks serta statistik itu dalam menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan tanah.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini boleh mendapatkannya di laman sesawang AMBD, www.ambd.gov.bn. Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram AMBD @autoriti_monetari.