Monday, July 1, 2024
23 C
Brunei

    -

    Indeks Harga Hartanah Kediaman menurun

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) pada suku pertama (Q1) 2024 menunjukkan penurunan sebanyak 4.4 peratus dari tahun-ke-tahun kepada 92.3 peratus berbanding dengan Q1 2023, dan peningkatan sebanyak 0.5 peratus berbanding Q4 2023.

    Berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperolehi dari bank-bank, sebanyak 81 transaksi pembelian telah dicatat pada Q1 2024.

    Ia menunjukkan penurunan sebanyak 33.6 peratus dalam bilangan transaksi berbanding dengan tahun sebelumnya dan juga penurunan sebanyak 40.9 peratus berbanding dengan Q4 2023.

    Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah mengongsikan terbitan RPPI Negara Brunei Darussalam bagi Q1 2024 hari ini.

    BDCB menyatakan bahawa indeks tersebut dihasilkan dengan data yang diperoleh dari bank-bank di Negara Brunei Darussalam dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan, khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

    Perubahan Indeks Harga Hartanah Kediaman dari tahun-ke-tahun. – GAMBAR SERAHAN BDCB

    RPPI mengukur kadar perubahan harga hartanah kediaman persendirian yang dibeli oleh isi rumah dari semasa ke semasa.

    Pada Q1 2024, sebahagian besar daripada transaksi tersebut adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached (55.5 peratus); diikuti oleh rumah teres (24.7 peratus); rumah berkembar atau semi-detached (17.3 peratus); dan pangsapuri (2.5 peratus). Tiada pembelian tanah melalui pembiayaan bank telah dicatat pada Q1 2024.

    Harga tengah (median) bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada Q1 2024 adalah $247,000.

    Ini menunjukkan penurunan sebanyak 1.6 peratus berbanding dengan Q1 2023 dan penurunan sebanyak 4.3 peratus berbanding Q4 2023.

    Harga tengah bagi pembelian rumah berasingan atau detached adalah $278,000; bagi rumah berkembar atau semi-detached adalah $246,000; bagi rumah teres adalah $220,000; dan bagi pangsapuri adalah $235,000.

    Pengiraan RPPI adalah menggunakan harga tengah dan bukan harga purata kerana harga tengah tidak mudah terjejas oleh harga hartanah yang luar biasa dalam suatu tempoh masa.

    Dari segi lokasi, kebanyakan pembelian hartanah persendirian pada Q1 2024 adalah yang terletak di Daerah Brunei dan Muara (66 hartanah), diikuti oleh Daerah Tutong (sembilan hartanah), dan Daerah Belait (enam hartanah).

    Sehubungan itu, lima buah mukim yang merekodkan jumlah transaksi yang tertinggi bagi Q1 2024 adalah Mukim Sengkurong, Mukim Kilanas, Mukim Gadong, Mukim Lumapas, dan Mukim Mentiri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Xi akan lawat Kazakhstan, Tajikistan 2 Julai

    BEIJING, 30 JUN - Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri mesyuarat pemimpin dan mengadakan lawatan negara ke Kazakhstan dan Tajikistan mulai Selasa ini, kementerian...