Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indeks harga hartanah menurun lebih 5 peratus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Indeks Harga Hartanah (RPPI) Negara Brunei Darussalam bagi suku kedua 2020 menunjukkan penurunan seba-nyak 5.2 peratus tahun-ke-tahun kepada 84.6 berbanding dengan suku kedua tahun 2019, dan penurunan sebanyak 7.1 peratus berbanding dengan suku pertama tahun 2020.

    Indeks tersebut diterbitkan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, di mana indeks dihasilkan dengan data-data yang diperoleh dari bank-bank di Negara Brunei Darussalam serta diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

    Kenyataan menyatakan bahawa berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman yang diperolehi daripada bank-bank, sebanyak 115 transaksi pembelian hartanah kediaman telah dicatatkan pada suku kedua tahun 2020 berbanding dengan 76 transaksi pada suku pertama tahun 2020.

    Kebanyakan daripada transaksi tersebut adalah bagi pembelian rumah detached iaitu sebanyak 43.5 peratus, diikuti oleh rumah berkembar atau semi-detached iaitu 26.1 peratus, rumah teres dengan 16.5 peratus, pangsapuri 10.4 peratus dan tanah 3.5 peratus.

    Manakala harga median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman pada tempoh suku kedua tahun 2020 adalah $238,000. Angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 8.5 peratus berbanding dengan suku kedua tahun 2019, dan penurunan sebanyak 4.4 peratus berbanding dengan suku pertama tahun 2020.

    Menurut kenyataan yang diberikan, harga median bagi pembelian rumah detached adalah $247,500, bagi rumah berkembar atau semi-detached adalah $272,000, bagi rumah teres adalah $165,000, bagi pangsapuri adalah $234,000 dan bagi tanah adalah $80,200.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung kepada indeks dan statistik ini dalam menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.

    Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini boleh didapati di laman web AMBD, www.ambd.gov.bn. Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram AMBD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda