Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi April 2021 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus tahun-ke-tahun berbanding April 2020.
Harga makanan dan minuman ringan juga meningkat sebanyak 1.5 peratus manakala, harga bukan makanan meningkat sebanyak 1 peratus.
Jabatan Perancang Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menjelaskan bahawa peningkatan IHP itu didorong oleh peningkatan harga dan kos pengangkutan iaitu sebanyak 7.2 peratus, perhubungan (1.8 peratus) dan makanan dan minuman ringan (1.5 peratus).
Peningkatan berkenaan diimbangi oleh penurunan harga dan kos pakaian dan kasut (10.9 peratus), perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah sebnyak 2.8 peratus dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.5 peratus).
Kenaikan bagi harga pengangkutan adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan harga kenderaan bermotor diikuti oleh tiket penerbangan.
Kos perhubungan yang meningkat adalah antara lain disebabkan oleh peralatan telefon dan telefaks, seperti telefon bimbit yang baru diperkenalkan di pasaran. Manakala itu, harga makanan dan minuman ringan meningkat adalah disebabkan kenaikan harga makanan seperti daging lembu dan kerbau; minyak masak dan sayur-sayuran.
Kenyataan menjelaskan, kenaikan harga daging dan sayur-sayuran antara lainnya disebabkan oleh kos import yang meningkat, saluran bekalan terjejas berikutan wabak COVID-19 yang berterusan di serantau, dan perubahan cuaca yang tidak menentu.
Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi April 2021 menurun sebanyak 0.5 peratus berbanding dengan Mac 2021.
Indeks makanan dan minuman ringan menurun sebanyak 0.9 peratus manakala, indeks bukan makanan menurun sebanyak 0.4 peratus.
IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.
Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.
Laporan penuh IHP bagi April 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, www.deps.gov.bn.