BEIJING, 9 OGOS – China mengalami deflasi buat kali pertama dalam lebih dua tahun pada bulan Julai, berdasarkan data rasmi hari ini, berikutan perbelanjaan domestik yang perlahan memberi kesan kepada pemulihan ekonomi pasca COVID.
Bacaan itu keluar sehari selepas berita mengatakan negara itu mencatat penurunan eksport terbesar sejak awal wabak manakala import merosot semula apabila permintaan domestik dan global menurun.
Indeks Harga Pengguna, pengukur utama inflasi, jatuh 0.3 pada bulan Julai, kata Biro Perangkaan Negara, selepas mendatar pada Jun.
Walaupun ia lebih baik daripada ramalan penurunan 0.4 peratus dalam tinjauan oleh Bloomberg, ia menandakan kejatuhan pertama sejak awal 2021 dan akan menambah tekanan kepada pihak berkuasa bagi menyediakan sokongan yang diperlukan kepada ekonomi.
Deflasi merujuk kepada penurunan harga barangan dan perkhidmatan disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk penggunaan yang semakin berkurangan.

Sementara barangan yang lebih murah mungkin kelihatan bermanfaat untuk kuasa beli, penurunan harga menimbulkan ancaman kepada ekonomi yang lebih luas kerana pengguna cenderung untuk menangguhkan pembelian dengan harapan harga barangan akan merosot lebih lanjut.
Kekurangan permintaan seterusnya memaksa syarikat untuk mengurangkan pengeluaran, membekukan pengambilan atau memberhentikan pekerja dan bersetuju memberikan diskaun baharu untuk menjual stok mereka, mengurangkan keuntungan walaupun kos kekal sama.
China mengalami tempoh deflasi yang singkat pada penghujung 2020 dan awal 2021, sebahagian besarnya disebabkan oleh kejatuhan harga daging khinzir, daging yang paling banyak digunakan di negara itu.
Sebelum itu, tempoh deflasi terakhir adalah pada tahun 2009. – AFP

