Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indeks hartanah turun 3.9 peratus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) pada suku ketiga Negara Brunei Darussalam tahun menunjukkan penurunan sebanyak 3.9 peratus tahun-ke-tahun kepada 91.7 peratus berbanding suku ketiga 2019 dan peningkatan sebanyak 8.4 peratus berbanding suku kedua 2020.

    Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini mengatakan indeks dihasilkan dengan data diperoleh daripada bank-bank di Negara Brunei Darussalam dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan, khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

    Berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman diperoleh dari bank-bank tersebut, sebanyak 182 transaksi pembelian hartanah kediaman telah dicatatkan pada suku ketiga 2020 berbanding 115 transaksi pada suku kedua 2020.

    Kebanyakan transaksi adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached (53.9 peratus) diikuti rumah berkembar atau semi detached (19.2 peratus), rumah teres (17 peratus), pangsapuri (6 peratus) dan tanah (3.9 peratus).

    Harga median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman pada tempoh suku ketiga ialah $240,000. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 7.7 peratus berbanding suku ketiga 2019 dan peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding suku kedua 2020.

    Harga median bagi pembelian rumah berasingan pula ialah $266,500, berkembar $248,000, teres $208,800, pangsapuri $215,000 dan bagi tanah pula $152,000.

    Indeks dan statistik diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membandingkan indeks dan statistik tersebut untuk menilai mana-mana hartanah kerana hartanah kediaman adalah berbeza tertakluk kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan tanah.

    Bagi maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini RPPI bolehlah melayari laman web dan Instagram AMBD.

    Perubahan RPPI dari suku pertama sehingga suku keempat bermula tahun 2016 sehingga 2020. – Gambar serahan AMBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda