Indeks nilai seunit eksport, import Malaysia susut

KUALA LUMPUR, 3 JULAI – Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia masing-masing susut 3.7 peratus dan 1.4 peratus bagi bulan ke bulan kepada 109.9 mata dan 113.1 mata pada Mei, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penyusutan indeks nilai seunit eksport itu disebabkan oleh penurunan indeks minyak galian (-20.5 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (-6.2 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (-0.4 peratus). Namun indeks volum eksport meningkat 0.4 peratus kepada 107.2 mata yang disebabkan oleh kenaikan indeks pelbagai barang keluaran perkilangan (+23.8 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (+13.7 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (+13.1 peratus).

Bagi data pelarasan musim, indeks volum eksport mencatat peningkatan kecil 0.2 peratus kepada 106.4 mata. Secara keseluruhannya, kedua-dua indeks nilai seunit eksport dan indeks volum import masing-masing susut 4.7 peratus dan 21.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagi indeks nilai seunit import, Mohd Uzir berkata penyusutan itu akibat kejatuhan indeks minyak galian (-12.5 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (-5.5 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (-0.4 peratus). Selain itu, indeks volum import turut mencatat penyusutan 22.6 peratus kepada 105.0 mata berikutan penurunan indeks minyak galian (-29.5 peratus , alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-27.7 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-23.5 peratus). – Bernama