Saturday, April 19, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indeks perkhidmatan meningkat, jualan runcit menurun

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Jualan perkhidmatan makanan dan minuman telah meningkat sebanyak 17.7 peratus pada suku tahun pertama (Q1) 2023 berbanding Q1 2022 dengan anggaran hasil jualan meningkat daripada $91.9 juta kepada $108.2 juta.

    Dari segi volum jualan, aktiviti makanan dan minuman juga mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 12.7 peratus tahun-ke-tahun, menurut Indeks Jualan Runcit (IJR) dan Indeks Perkhidmatan Makanan dan Minuman (IPM&M) Q1 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Peningkatan hasil jualan makanan dan minuman adalah terutamanya disebabkan oleh aktiviti perkhidmatan katering yang meningkat sebanyak 50.2 peratus, diikuti dengan kedai makanan segera 22.8 peratus, dan restoran 19.6 peratus.

    Bagi perbandingan secara suku tahunan, nilai dan volum jualan perkhidmatan makanan dan minuman telah mencatatkan penurunan berbanding dengan suku tahun keempat (Q4) 2022.

    Nilai jualan perkhidmatan makanan dan minuman telah menurun sebanyak 0.6 peratus pada Q1 2023 terutamanya didorong oleh penurunan hasil jualan bagi aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan sebanyak 3.5 peratus; kedai makanan segera 3.1 peratus; dan aktiviti perkhidmatan katering 1.8 peratus.

    Bagi prestasi jualan runcit, ia mencatatkan penurunan tahun-ke-tahun sebanyak 4 peratus berikutan kekurangan permintaan domestik selaras dengan volum jualan runcit yang lebih rendah sebanyak 4.9 peratus tahun-ke-tahun.

    Ia didorong terutamanya oleh penurunan jualan barangan farmaseutikal dan perubatan, kosmetik dan barang mandian di kedai khusus sebanyak 26.3 peratus, diikuti dengan jualan peralatan komputer dan telekomunikasi 21.4 peratus, jualan jam tangan dan barang kemas 21.1 peratus, jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus 9.5 peratus, dan jualan di gedung serbaneka 4.3 peratus.

    Manakala, nilai dan volum jualan runcit pada Q1 2023 juga mencatatkan penurunan.

    Nilai jualan runcit telah menurun sebanyak 1.7 peratus terutamanya didorong oleh penurunan jualan peralatan komputer dan telekomunikasi sebanyak 23.4 peratus, jualan barangan rekreasi 14.1 peratus, jualan buku, surat khabar dan alat tulis di kedai khusus 11.7 peratus, jualan di gedung serbaneka 1.4 peratus, dan jualan di pasar raya 1.2 peratus.

    IJR dan IPM&M adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.

    Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda