Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indeks volum eksport Q2 meningkat 10.3 peratus

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Peningkatan sebanyak 10.3 peratus indeks volum eksport direkodkan pada suku kedua (Q2) 2024 berbanding tahun sebelumnya, dan ini menyebabkan peningkatan jumlah nilai eksport daripada $2,711.8 juta kepada $3,802.9 juta.

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini mengenai Indeks Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTI) Suku Kedua 2024 turut mengongsikan, peningkatan indeks volum eksport disumbangkan oleh peningkatan indeks bahan kimia (40.5 peratus), bahan api galian (11 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (1.2 peratus).

    Indeks nilai unit eksport mencatatkan peningkatan sebanyak 29.5 peratus, terutamanya disebabkan oleh peningkatan indeks bahan api galian (30.5 peratus), barang-barang keluaran kilang (7.3 peratus) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (7.1 peratus).

    Manakala indeks nilai unit import mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan menyebabkan peningkatan jumlah nilai import daripada $2,323 juta kepada $2,662.9 juta.

    Ini adalah disumbangkan oleh peningkatan bahan api galian (10.1 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (7.7 peratus) dan bahan kimia (6.7 peratus).

    Sementara indeks volum import pada Q2 2024 turut meningkat sebanyak 1 peratus disebabkan oleh peningkatan bahan api galian iaitu sebanyak 32.1 peratus, bahan kimia (16.3 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (11.6 peratus).

    IMTI menunjukkan perubahan nilai unit dan kuantiti komoditi import dan eksport di Negara Brunei Darussalam dalam tempoh tertentu, dan indeks ini juga bermanfaat untuk membuat analisa pasaran global yang berdaya saing dalam mengukur dan membuat unjuran inflasi dan penyusunan akaun negara.

    Laporan penuh IMTI bagi Q2 2024 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, https://deps.mofe.gov.bn.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda