Indera SC beraksi dalam AFC 2020

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Indera SC akan menjadi kelab tempatan pertama yang mewakili Brunei Darussalam dalam Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 diikuti dengan pengumuman pusingan play-off menentang Myanmar iaitu Yangon United FC.

Juara dua kali Liga Super itu akan menggantikan juara bertahan MS ABDB, yang tidak layak untuk mengambil bahagian dalam perlawanan tersebut disebabkan tidak mempunyai lesen AFC.

Indera, yang menamatkan kedudukan keempat dalam liga musim lalu, merupakan satu-satunya kelab tempatan yang memenuhi kelayakan AFC dan layak untuk beraksi pada pusingan playoff, yang merupakan perlawanan permulaan sebelum beraksi pada perlawanan sebenar. Yangon United beraksi dalam Liga Kebangsaan Myamnar dan kini merupakan juara General Aung San Shield.

Pasukan negara akan memulakan perlawanan pusingan pertama mereka pada 22 Januari tahun depan dan beraksi sekali lagi pada 29 Januari.

Sementara itu, Indera juga tampil dengan khidmat bekas penjaga gol skuad Piala Presiden Sabah, Tekson Tubeng untuk perlawanan musim Liga Super Brunei akan datang.

Pemain asal Keningau itu merupakan sebahagian daripada skuad muda Sabah pada tahun 2016 dan 2017, termasuk menjadi wakil dalam Sukan Sukma pada tahun 2016.

Pemain berusia 23 tahun itu juga menang Piala Liga KDM Malaysia bersama KDM Telupid, di mana dia memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik.

Kelab itu kini sedang melakukan persiapan menjelang penampilan mereka pada peringkat benua melalui perlawanan persahabatan menentang Sabah FA pada 13 Disember dan Tangkur FC sehari selepas itu.

Kelab tempatan hanya beraksi dalam perlawanan domestik dan kini akan beraksi dalam Piala AFC akan menyerlahkan lagi masa depan sukan bola sepak Brunei.