Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indera SC ucap tahniah kepada Presiden FAS baharu

    Oleh Fadhil Yunus – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Kelab tempatan Indera SC telah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada presiden baharu Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menerusi akaun media sosial rasmi mereka awal minggu ini.

    Juara liga dua kali itu menulis di halaman Instagram rasmi mereka, “Semoga awda terus berjaya dalam peranan kepimpinan baharu ini sambil terus memacu pertumbuhan dan masa depan bola sepak Singapura ke tahap yang lebih tinggi.”

    Kapsyen itu diakhiri dengan ucapan, “Semoga lembaran baharu yang penuh keterujaan ini membawa kejayaan yang gemilang.”

    Perkongsian yang menyentuh hati itu mencerminkan hubungan erat dan kukuh antara komuniti bola sepak Brunei dan Singapura.

    Ucapan tersebut turut menarik perhatian pemain antarabangsa, termasuk pemain Jepun, Reo Nakamura yang kini beraksi bersama kelab Sporting de Macau dan penjaga gol SV Transvaal, Paulo Roberto, yang turut memberikan tanda suka pada hantaran berkenaan.

    Forrest Li, yang juga pengerusi kelab juara Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors, akan memegang jawatan Presiden FAS bagi penggal 2025 hingga 2029 susulan Kongres Luar Biasa FAS yang diadakan baru-baru ini.

    Dalam ucapan pertamanya selepas pelantikan, beliau berkata, “Saya percaya kita boleh melakukan banyak perkara untuk meningkatkan standard sukan ini dan mengembalikan semangat positif kepada bola sepak Singapura.”

    Sementara itu, Indera SC kini sedang membuat persiapan menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala FA Brunei menentang MS PPDB pada 2 Mei ini, dengan kelebihan kemenangan 2-0 dari perlawanan pertama.

    Kelab tersebut kini beraksi dalam Liga Super Brunei (BSL), iaitu saingan liga utama negara, di mana mereka menamatkan saingan musim lalu di tangga ketiga.

    GAMBAR IHSAN FAS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda