NEW DELHI, 17 NOV – India hari ini mengumumkan negara itu telah menandatangani satu perjanjian ‘signifikan’ yang akan menyaksikan Amerika Syarikat (AS) membekalkan hampir 10 peratus daripada jumlah import gas petroleum cecair (LPG) negara Asia tersebut, sebagai usaha mempelbagaikan sumber tenaganya.
Hubungan antara Washington dan New Delhi merosot sejak Ogos lalu selepas Presiden Donald Trump menaikkan tarif terhadap India kepada 50 peratus, dengan pegawai AS menuduh India menyokong perang Rusia di Ukraine melalui pembelian minyak Rusia pada harga diskaun.
Trump sebelum ini mendakwa bahawa Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah bersetuju untuk mengurangkan import minyak Rusia sebagai sebahagian daripada perjanjian dagang yang berpotensi, sesuatu yang tidak disahkan oleh New Delhi.
India dan AS masih meneruskan rundingan meskipun berdepan perselisihan dalam beberapa isu termasuk perdagangan pertanian dan pembelian minyak dari Rusia.
Menteri Petroleum dan Gas Asli India, Hardeep Singh Puri berkata India telah menandatangani perjanjian selama setahun bagi pembekalan 2.2 juta tan LPG setahun, diperoleh dari Pantai Teluk AS, yang merangkumi ‘hampir 10 peratus’ daripada jumlah import tahunan bahan api tersebut. – AFP

