NEW DELHI, 19 APRIL – India bakal mempunyai bilangan penduduk yang lebih ramai berbanding China pada penghujung Jun, berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.
Penduduk India dianggarkan mencecah 1,428.6 bilion berbanding seramai 1,425.7 bilion orang di China, perbezaan seramai 2.9 juta, menurut ramalan laporan Kedudukan Penduduk Dunia 2023 yang dikeluarkan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) hari ini.
Penduduk dunia secara keseluruhan seramai 8,045 bilion dengan rantau Asia Pasifik dihuni 4,176 bilion orang, menurut laporan itu.
Bilangan orang yang tinggal di negara Arab seramai 468 juta manakala di Amerika Latin dan Caribbean seramai 661 juta.
Amerika Syarikat merupakan negara ketiga paling ramai penduduk iaitu 340 juta diikuti Indonesia 277.5 juta, dan Pakistan di tempat kelima dengan populasi 240.5 juta.

UNFPA dalam satu kenyataan memberi amaran terhadap ‘naratif yang menimbulkan kebimbangan’ mengenai pertumbuhan penduduk.
Memetik tinjauan di lapan negara untuk laporan itu, agensi PBB itu berkata mereka yang terdedah kepada media atau perbualan mengenai pertumbuhan penduduk, lebih berkemungkinan akan melihat angka itu sebagai ‘terlalu tinggi’.
“Demografi menunjukkan gambaran yang lebih baik,” katanya.
“Dua pertiga orang kini hidup dalam ‘konteks kesuburan rendah’, manakala hanya lapan negara akan menyumbang separuh daripada unjuran pertumbuhan penduduk menjelang 2050,” kata kenyataan itu.
Ia juga berkata menyalahkan perubahan iklim bagi kadar kesuburan rendah sebenarnya menunjukkan kegagalan untuk mengambil kira mereka yang paling banyak melepaskan karbon.
“Daripada lapan bilion, 5.5 bilion tidak mempunyai kedudukan kewangan yang mencukupi untuk mempengaruhi peningkatan pelepasan karbon,” menurut kenyataan itu. – AFP/Bernama

