NEW DELHI, 3 SEPT – India melancarkan misi angkasa pertamanya untuk mengkaji matahari kelmarin, kurang dari dua minggu selepas pendaratan tanpa kru berjaya berhampiran kawasan kutub selatan bulan.
Kapal angkasa Aditya-L1 berlepas dengan menggunakan kenderaan pelancaran satelit dari pusat pelancaran di pulau Sriharikota di selatan India dalam usaha untuk mengkaji matahari dari satu titik lebih kurang 1.5 juta kilometer dari bumi. Sekali gus memberikan sudut pandangan jelas yang berterusan.
Kapal angkasa itu membawa tujuh muatan untuk mengkaji korona matahari, kromo sfera, foto sfera dan angin suria, kata Organisasi Penyelidikan Angkasa India.
Selepas lebih dari sejam, ISRO mengumumkan pelancaran itu ‘berjaya’.
“Kapal angkasa tersebut telah menempatkan satelit dengan tepat ke dalam orbit. Balai cerap solar pertama India telah memulakan perjalanan ke destinasi titik Matahari-Bumi L1,” kata ISRO di platform X.
Satelit itu dijadualkan mengambil masa 125 hari untuk mencapai titik L1.
Jitendra Singh, Menteri muda India untuk sains dan teknologi, memuji pejabat ISRO kerana kerja mereka dalam pelancaran baru.
“Tahniah India. Tahniah ISRO,” katanya semasa berada di bilik kawalan ISRO. “Ini adalah saat matahari untuk India.”
Kajian matahari yang digabungkan dengan pendaratan bulan yang berjaya oleh India, akan mengubah sepenuhnya imej ISRO dalam komuniti dunia, kata Manish Purohit, bekas saintis di organisasi penyelidikan itu.
Ratusan orang yang berkumpul untuk menonton pelancaran bersorak ketika misi matahari India berlepas. – AP
