BENGALURU, INDIA, 30 OKT – Agensi angkasa lepas India dijadual melancarkan satelit komunikasi paling berat negara itu menggunakan kenderaan pelancar terbesar pada Ahad ini, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha India memperkukuh kemajuan teknologi dan penerokaan angkasa lepas.
Menurut kenyataan Organisasi Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) hari ini, satelit komunikasi CMS-03 yang seberat kira-kira 4,410 kilogram itu merupakan satelit komunikasi paling berat pernah dilancarkan di negara itu.
Pelancaran berkenaan akan berlangsung di Sriharikota, negeri Andhra Pradesh, pada jam 5:26 petang, kata ISRO.
Satelit itu akan dihantar ke orbit menggunakan roket LVM3-M5 setinggi 43.5 meter dan dijangka menyediakan perkhidmatan komunikasi meliputi kawasan lautan yang luas termasuk seluruh wilayah daratan India.
ISRO menjelaskan pelancar roket berkenaan merupakan versi dinaik taraf daripada roket yang digunakan untuk menghantar kapal angkasa tanpa pemandu yang berjaya mendarat di Bulan pada Ogos 2023.
Pendaratan itu menjadikan India sebagai negara keempat yang berjaya melakukan pendaratan terkawal di permukaan bulan selepas Rusia, Amerika Syarikat dan China.
Sejak kejayaan menghantar kapal angkasa pertama mengorbit bulan pada 2008, program angkasa India terus berkembang pesat dari segi saiz dan keupayaan.
Negara itu merancang untuk melancarkan misi orbit tanpa kru sebelum penerbangan angkasa lepas pertama membawa manusia yang dijadualkan pada awal 2027. Perdana
Menteri, Narendra Modi sebelum ini turut mengumumkan rancangan untuk menghantar angkasawan India ke bulan menjelang 2040. – AFP


