NEW DELHI, 3 JAN – India dan Bangladesh telah memulakan pemulangan 185 nelayan yang ditahan dalam satu perjanjian yang dimeterai walaupun hubungan diplomatik kedua-dua negara agak tegang, kata pegawai Kementerian Luar.
Dhaka menyerahkan 95 nelayan India, sementara New Delhi melepaskan 90 nelayan Bangladesh, dengan proses penyerahan dijangka selesai di laut oleh unit pengawal pantai.
Kementerian Luar India berkata bahawa nelayan India ditahan selepas mereka ‘secara tidak sengaja’ melintasi perairan Bangladesh.
Beberapa nelayan Bangladesh juga ditangkap oleh pihak berkuasa India dalam situasi yang serupa.
Sebahagian daripada mereka telah ditahan sejak bulan September.
“Pertukaran bersama nelayan dan kapal mereka ini telah diatur dengan mempertimbangkan isu kemanusiaan dan keperluan sara hidup masyarakat nelayan,” kata Kementerian Luar India dalam satu kenyataan kelmarin.
Touhid Hossain, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal luar negara bagi kerajaan sementara Bangladesh, berkata bahawa pertukaran tersebut akan selesau pada Ahad, lapor akhbar Prothom Alo di Dhaka hari ini.
Dua kapal nelayan Bangladesh yang ditahan di India dan enam bot nelayan India yang ditahan di Bangladesh juga akan ditukar, lapor media Bangladesh.
Hubungan antara kedua-dua negara itu telah renggang sejak penggulingan pemerintahan autokratik bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, pada bulan Ogos melalui revolusi yang dipimpin oleh pelajar.
Pemerintahan kuku besi Hasina disokong kuat oleh New Delhi dan beliau kini berada di India selepas diusir dari negaranya.
Bangladesh telah menuntut Hasina dihantar pulang ke negara untuk menghadapi tuduhan ‘pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan’.
Penyokong nasionalis Hindu Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah mendesak kerajaan beliau untuk mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap Dhaka. – AFP