NEW DELHI, 30 OGOS – India telah mengeluarkan ‘bantahan keras’ kepada China kelmarin selepas peta Beijing menuntut tanah yang dikatakan New Delhi adalah milik mereka, termasuk wilayah berhampiran di mana kedua-dua negara bertempur pada tahun 2020.
“Kami hari ini telah mengemukakan bantahan keras melalui saluran diplomatik dengan pihak China mengenai apa yang dipanggil ‘peta standard’ China 2023 yang menuntut wilayah India,” kata jurucakap Kementerian Luar, Arindam Bagchi dalam satu kenyataan.
“Kami menolak tuntutan itu kerana ia tidak mempunyai asas. Langkah sedemikian oleh pihak China hanya merumitkan penyelesaian isu sempadan.”
India telah bersikap hati-hati dengan pengaruh ketenteraan jirannya yang semakin meningkat dan sempadan mereka sepanjang 3,500 kilometer telah menjadi sumber ketegangan yang berterusan.
New Delhi berkata dua kawasan dalam peta yang dikeluarkan oleh akhbar Global Times milik kerajaan Beijing adalah milik India.

Salah satunya ialah negeri Arunachal Pradesh di timur laut India, yang China anggap sebagai sebahagian daripada Tibet dan negara gergasi Asia itu bertempur dalam perang sempadan besar-besaran pada 1962.
Kedua adalah Aksai Chin, sebuah laluan strategik pada altitud tinggi yang menghubungkan Tibet dengan China barat.
Pertempuran pada 2020 yang membunuh 20 askar India dan sekurang-kurangnya empat tentera China berlaku di lembah sungai Galwan, yang bersempadan dengan Aksai Chin.
Puluhan ribu askar sejak itu telah berkumpul di sepanjang kedua-dua belah Garis Kawalan Sebenar (LAC) yang membahagikan sempadan berkenaan.
Mereka kekal walaupun 19 rundingan diadakan antara pegawai tinggi tentera kedua-dua negara.
Bantahan India berlaku beberapa hari selepas Perdana Menteri, Narendra Modi dan Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan bersemuka yang jarang berlaku di Afrika Selatan.
Kerajaan Modi telah melabur berbilion-bilion dolar dalam projek penghubung di sepanjang sempadan bagi meningkatkan kehadiran orang awam dan menubuhkan batalion tentera separa baharu. – AFP