Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    India bantah tindakan AS, EU dalam isu pembelian minyak Rusia

    NEW DELHI, 5 OGOS – Kementerian Luar Negeri India kelmarin menyatakan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) telah ‘menyasarkan’ negara itu berikutan pembeliannya terhadap minyak Rusia, sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘tidak wajar’ dan menegaskan bahawa India akan melindungi kepentingannya.

    “Penyasaran terhadap India adalah tidak wajar dan tidak munasabah,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri India, Randhir Jaiswal dalam satu kenyataan, selepas Presiden AS, Donald Trump berikrar akan menaikkan tarif ke atas India kerana pembelian minyaknya daripada Rusia.

    “Seperti mana-mana ekonomi utama, India akan mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi kepentingan negara dan keselamatan ekonominya.”

    Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan langkah-langkah yang bakal diambil.

    India telah menjadi pembeli utama minyak Rusia, menyediakan pasaran eksport penting bagi Moscow selepas ia disekat daripada pembeli tradisionalnya di Eropah akibat peperangan di Ukraine.

    New Delhi berjaya menjimatkan berbilion dolar sementara pada masa sama menyokong kewangan Rusia.

    Namun pada Isnin, India berhujah bahawa ia ‘mula mengimport dari Rusia kerana bekalan tradisional telah dialihkan ke Eropah selepas tercetusnya konflik.’

    India turut menyatakan bahawa Washington pada waktu itu ‘secara aktif telah menggalakkan import tersebut oleh India demi menstabilkan pasaran tenaga global.’

    India turut menyifatkan apa yang dianggapnya sebagai sikap hipokrit AS dan EU dalam perdagangan dengan Moscow. – AFP

    Lori tangki minyak di luar loji penapisan minyak yang dikendalikan oleh Bharat Petroleum Corp. Ltd., di Mumbai, India, pada 4 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda