India batalkan sekatan telefon bimbit

SRINAGAR, 13 OKT – Kerajaan India berkata perkhidmatan telefon bimbit di Kashmir bakal dipulihkan tidak lama lagi, selepas operasinya disekat sejak lebih dua bulan lalu. Jurucakap Kerajaan India, Rohit Kansal, berkata keputusan itu dibuat selepas mengkaji semula aspek keselamatan di wilayah Himalaya yang bergolak.

“Kesemua talian telefon yang mempunyai langganan bulanan akan beroperasi semula dan boleh digunakan mulai tengah hari Isnin ini,” katanya pada satu sidang media.

Beliau berkata langkah itu membabitkan semua daerah di Kashmir.

New Delhi menamatkan kuasa autonomi Kashmir pada 5 Ogos

lalu dan susulan itu, perkhidmatan telefon bimbit serta internet turut disekat. Selain itu, puluhan ribu anggota tentera turut dikerah dalam satu operasi yang disifatkan pengkritik bertujuan menyekat Kashmir, iaitu wilayah majoriti penduduk Islam dari dunia luar.

Namun, Kansal tidak memberi petanda sama ada perkhidmatan internet akan turut dipulihkan.

Pada Khamis lalu, kerajaan menarik balik larangan bagi pelancong mengunjungi wilayah itu, dan membebaskan tiga ahli politik daripada ratusan individu yang ditahan selepas insiden 5 Ogos lalu. – AFP