BANGKOK, 29 OKT – India akan membawa pulang 500 orang warganya dari Thailand selepas tindakan keras terhadap sebuah pusat penipuan di Myanmar menyebabkan para pekerja melarikan diri menyeberangi sempadan, kata Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul hari ini.
Kompleks besar yang menempatkan penipu dalam talian yang menyasarkan mangsa melalui penipuan cinta dan perniagaan telah berkembang pesat di sepanjang sempadan Myanmar yang longgar kawalannya sejak tercetusnya perang saudara selepas rampasan kuasa pada tahun 2021.
Sejak minggu lalu, salah satu pusat yang paling terkenal, KK Park, telah digemparkan dengan serbuan besar-besaran, menyebabkan ratusan orang melarikan diri menyeberangi sungai sempadan ke bandar Mae Sot di Thailand.
Kekecohan itu berlaku susulan siasatan AFP awal bulan ini yang mendedahkan kerja pembinaan pesat di pusat-pusat penipuan sempadan, walaupun kerajaan Myanmar sebelum ini menguar-uarkan tindakan keras terhadap kegiatan itu pada Februari lalu.
Menurut pentadbiran wilayah Tak di sempadan Thailand, lebih daripada 1,500 orang dari 28 negara telah menyeberangi sempadan ke Thailand sejak bermula tindakan keras terhadap KK Park hingga malam Selasa.

“Hampir 500 warga India kini berada di Mae Sot,” kata Anutin kepada pemberita. “Kerajaan India akan menghantar pesawat khas untuk membawa mereka pulang terus ke tanah air.”
Ramai individu yang bekerja di pusat penipuan itu mendakwa mereka diperdagangkan ke lokasi tersebut, namun penganalisis berkata ada juga yang pergi secara sukarela kerana tertarik dengan tawaran gaji lumayan.
Anutin tidak menjelaskan sama ada warga India tersebut dianggap sebagai penjenayah atau mangsa, manakala kedutaan India belum memberikan sebarang ulasan segera berhubung perkara itu.
Pakar menjelaskan bahawa tentera Myanmar sejak sekian lama menutup mata terhadap operasi penipuan ini yang menguntungkan kumpulan militia sekutu mereka, rakan penting dalam peperangan menentang kumpulan pemberontak.
Namun junta tentera turut berdepan tekanan daripada sekutu ketenteraannya, China, yang berang apabila rakyatnya turut terlibat dan menjadi mangsa dalam skim penipuan berkenaan.
Tindakan keras Februari lalu menyaksikan kira-kira 7,000 pekerja dipulangkan ke negara masing-masing, sementara Thailand pula melaksanakan sekatan internet rentas sempadan bagi menyekat kegiatan pusat-pusat penipuan tersebut. – AFP

