NEW DELHI, 31 DIS – New Delhi berkata ia akan membenarkan syarikat gergasi telekom China Huawei mengambil bahagian dalam percubaan untuk perkhidmatan 5G dalam pasaran India, memberikan firma tersebut rangsangan besar tatkala ia bergelut dengan sekatan Amerika Syarikat (AS).
Kerajaan AS telah mengharam Huawei daripada bekerja dengan firma AS, menggelarnya ancaman keselamatan disebabkan hubungan rapat dengan kerajaan China. Syarikat itu menafi tuduhan tersebut.
Washington, yang juga mengharamkan syarikat AS daripada menjual peralatan kepada Huawei, telah melobi India supaya membeku Huawei daripada rangkaian komunikasi 5G.
“Kami telah mengambil keputusan untuk memberikan spektrum 5G untuk percubaan kepada semua pemain,” kata menteri telekom India Ravi Shankar Prasad lewat semalam.
Beliau mengakui Huawei, pemimpin global dalam peralatan rangkaian telekom dan pemain besar dalam pasaran telefon pintar India, akan menjadi salah sebuah syarikat yang mengambil bahagian dalam percubaan yang dijangka bermula pada bulan depan.
Dengan 451 juta pengguna internet aktif setiap bulan, India menduduki tempat kedua di belakang China dalam ranking pengguna internet di dunia, menurut Persatuan Internet dan Telefon Bimbit India.
Tindakan India diambil selepas operator telekomunikasi Eropah termasuk Telenor dari Norway dan Telia dari Sweden meluluskan Huawei sebagai pembekal untuk rangkaian 5G mereka tatkala agensi risikan mengingatkan supaya jangan bekerja dengan syarikat berkenaan.
Australia dan Jepun juga telah mengambil langkah untuk menyekat penyertaan firma dalam rangkaian 5G mereka.
Pengumuman India keluar tatkala Huawei berkata ‘ketahanan’ merupakan dasar utamanya selepas mengumumkan jualan 2019 dijangka kurang daripada ramalan akibat sekatan AS.
Pendapatan meningkat pada tahun ini kepada 850 bilion yuan, lebih rendah daripada ramalan yang dipersalahkan oleh pengerusi Eric Xu ke atas pengharaman AS. – AFP