NEW DELHI, 20 JUN – Menteri kesihatan India hari ini berkata bahawa kerajaan akan berusaha untuk mengurangkan kematian akibat suhu yang meningkat ekstrem selepas laporan beberapa kematian akibat gelombang haba yang teruk minggu ini.
Kawasan utara dan timur India telah menyaksikan suhu yang sangat tinggi sehingga 46 darjah Celsius minggu ini, dengan pihak berkuasa kesihatan melaporkan peningkatan kes kecederaan akibat kepanasan dan kematian.
Para saintis mengatakan bahawa keadaan panas yang demikian semakin memburuk dan kerap berlaku di seluruh Asia Selatan akibat perubahan iklim.
Pegawai tertinggi bertemu hari ini untuk menangani “masalah yang timbul daripada panas terik di seluruh negara dan persediaan untuk bencana kesihatan awam”, kata menteri kesihatan, Mansukh Mandaviya di Twitter.
Majlis Penyelidikan Perubatan India telah “diarahkan untuk membuat rancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk mengelakkan kematian akibat gelombang haba dan kecedera-an akibat kepanasan pada masa hadapan”, tambahnya.
Pegawai dari agensi pengurusan bencana Bihar berkata hari ini bahawa ia telah mengesahkan kematian sembilan orang akibat kepanasan di negeri timur itu.
Pengarah Eksekutif Persatuan Kesihatan Negeri Bihar, Sanjay Kumar Singh berkata, kira-kira 375 orang telah dimasukkan ke hospital kerajaan yang berbeza untuk pelbagai penyakit berkaitan dengan kepanasan. – AFP


