Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    India berjaya gandakan populasi harimau

    BENGALURU, 31 JAN – India berjaya menggandakan populasi harimau dalam tempoh lebih satu dekad dengan melindungi spesies itu daripada pemburuan haram dan kehilangan habitat, memastikan bekalan makanan mencukupi, mengurangkan konflik manusia-hidupan liar, serta meningkatkan taraf hidup komuniti berhampiran kawasan harimau, menurut satu kajian yang diterbitkan kelmarin.

    Jumlah harimau meningkat daripada anggaran 1,706 ekor pada 2010 kepada sekitar 3,682 ekor pada 2022, berdasarkan anggaran oleh National Tiger Conservation Authority (NTCA).

    Ini menjadikan India sebagai habitat bagi kira-kira 75 peratus daripada populasi harimau global. Kajian itu juga mendapati bahawa komuniti berhampiran habitat harimau turut mendapat manfaat daripada peningkatan spesies tersebut menerusi ekopelancongan yang membawa masuk pelawat dan pendapatan.

    Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science menyatakan bahawa kejayaan India ‘memberikan pelajaran penting kepada negara-negara lain dalam lingkungan habitat harimau’ bahawa usaha pemuliharaan bukan sahaja boleh membantu biodiversiti, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

    “Kepercayaan umum adalah kepadatan manusia menghalang pertambahan populasi harimau,” kata Yadvendradev Jhala, saintis kanan di Indian National Academy of Sciences dan penulis utama kajian tersebut.

    “Namun, kajian ini menunjukkan bahawa bukan kepadatan penduduk yang menjadi faktor utama, tetapi sikap masyarakat terhadap pemuliharaan adalah lebih penting.”

    Pakar pemuliharaan hidupan liar dan ahli ekologi menyambut baik kajian itu tetapi mencadangkan agar data sumbernya dikongsi dengan lebih ramai saintis untuk meningkatkan ketelusan dan ketepatan.

    Arjun Gopalaswamy, seorang ahli ekologi yang pakar dalam anggaran populasi hidupan liar, menyatakan bahawa program pemantauan harimau rasmi India sebelum ini mempunyai rekod yang bercanggah. – AP

    Gambar fail menunjukkan harimau berada di Taman Negara Ranthambore di Sawai Madhopur, India. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda