Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    India, Bhutan bina laluan kereta api rentas sempadan pertama

    NEW DELHI, 30 SEPT – India dan Bhutan akan membina laluan kereta api rentas sempadan pertama yang menghubungkan kedua-dua negara, umum New Delhi kelmarin, dengan projek bernilai AS$454 juta itu dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

    Setiausaha Luar India, Vikram Misri berkata negaranya, yang merupakan rakan dagang utama Bhutan, telah memainkan peranan penting dalam pemodenan infrastruktur dan ekonomi negara Himalaya itu.

    Projek kereta api ini akan memberi ‘manfaat besar kepada rakyat Bhutan’, kata Menteri Kereta Api India, Ashwini Vaishnaw.

    “Seluruh kawasan akan dihubungkan. Dan pergerakan barangan yang kini mengambil masa berhari-hari, akan dapat dilakukan dalam hanya beberapa jam.”

    Laluan kereta api pertama sejauh 69 kilometer, dengan anggaran kos 34.56 bilion rupee (AS$390 juta), akan menghubungkan bandar Kokrajhar di timur laut India dengan Gelephu, sebuah pekan berhampiran sempadan India yang berpenduduk sekitar 10,000 orang.

    Laluan kedua sejauh 20 kilometer, dijangka menelan belanja 5.77 bilion rupee, akan menghubungkan pusat perindustrian barat laut Bhutan, Samtse, dengan Banarhat di timur India.

    Bhutan yang bersaiz kecil dan dikelilingi daratan, dengan populasi kurang 800,000 orang, terletak di antara China dan India, serta terkenal dengan dasar mengutamakan ‘Indeks Kebahagiaan Negara’ berbanding pertumbuhan semata-mata. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda