NEW DELHI, 7 OKT – India akan membuka semula sempadannya kepada para pelancong bermula 15 Oktober selepas ditutup selama hampir lebih setahun disebabkan pandemik koronavirus, kata kerajaan hari ini.
“Selepas mempertimbangkan pelbagai input, Kementerian Dalam Negeri (MHA) telah memutuskan untuk memberikan Visa Pelancong kepada warga asing yang datang ke India menggunakan penerbangan sewa yang berkuat kuasa 15 Oktober 2021,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Manakala pelancong asing yang memasuki India menggunakan pesawat biasa selain penerbangan sewa hanya akan dapat melakukannya bermula 15 November dalam Visa Pelancong baharu,” tambahnya.
India membatalkan semua visa buat warga asing pada Mac 2020 apabila pandemik menyebabkan kerajaan terpaksa mengenakan sekatan pergerakan ketat.
Sekatan ke atas beberapa kategori bagi warga asing seperti diplomat dan para peniaga akan dibatalkan kemudian namun pelancong masih lagi ditegah. – AFP