India catat lebih 12,000 kes baharu COVID-19

NEW DELHI, 1 NOV – Jumlah kes COVID-19 di India bertambah menjadi 34,285,814 pada Isnin, setelah 12,514 kes baharu didaftarkan dalam tempoh 24 jam lepas di seluruh negara, menurut data terkini kementerian kesihatan.

Selain itu, 251 kematian akibat wabak itu dilaporkan sejak pagi Ahad menjadikan jumlah kematian kepada 458,437, lapor Xinhua.

Masih terdapat 158,817 kes aktif COVID-19 di negara ini meskipun berlaku penurunan sebanyak 455 kes aktif sepanjang 24 jam lepas. Kementerian kesihatan berkata jumlah kes aktif itu adalah yang terendah dalam tempoh 248 hari. – Bernama