Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    India, China sambung penerbangan terus selepas 5 tahun

    KOLKATA, 26 OKT – India dan China akan menyambung semula penerbangan terus hari ini selepas digantung selama lima tahun, satu langkah penting bukan sahaja bagi perdagangan tetapi juga sebagai isyarat simbolik ketika kedua-dua kuasa besar Asia itu berhati-hati memperbaharui hubungan mereka.

    Kedua-dua negara jiran tersebut yang merupakan dua negara paling ramai penduduk di dunia, kekal sebagai pesaing strategik yang bersaing untuk pengaruh serantau, namun hubungan mereka telah beransur pulih sejak insiden pertempuran maut di sempadan Himalaya pada tahun 2020.

    Kerajaan India menyatakan bahawa penyambungan semula penerbangan itu akan meningkatkan ‘hubungan antara rakyat’ serta membantu proses pemulihan beransur-ansur dalam pertukaran dua hala.

    Hubungan yang semakin mesra dengan Beijing berlaku ketika hubungan India dengan rakan dagang utamanya, Washington, dilanda kesukaran berikutan arahan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mengenakan tarif sebanyak 50 peratus.

    Pegawai pentadbiran Trump menuduh India membantu Rusia dalam perang di Ukraine dengan membeli minyak dari Moscow.

    Syarikat penerbangan komersial terbesar India, IndiGo, dijadual mengendalikan penerbangan harian pertama ke tanah besar China, berlepas dari Kolkata pada jam 10 malam hari ini menuju ke Guangzhou.

    Pada masa ini sudah terdapat penerbangan tetap antara India dan Hong Kong, manakala perkhidmatan tambahan dari ibu negara New Delhi ke Shanghai dan Guangzhou akan bermula pada bulan November. – AFP

    Kakitangan darat berjalan melepasi pesawat syarikat penerbangan IndiGo yang sedang bergerak di kawasan apron di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhash Chandra Bose di Kolkata pada 1 Februari 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda