Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    India, China setuju kendur ketegangan

    BEIJING, 29 April – Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri India Narendra Modi mengakhiri pertemuan tidak rasmi semalam dengan berjanji untuk mengurangkan ketegangan di sempadan selepas menemui jalan buntu ke atas Himalaya tahun lalu.

    Kedua-dua pemimpin itu telah meluangkan masa selama dua hari di bandar Wuhan, tengah China, bagi membincangkan mengenai cara untuk memulihkan hubungan ketika tentera dari kedua-dua negara saling memerhatikan antara satu sama lain di kawasan Doklam yang dipertikaikan.

    Kedua-dua pemimpin itu telah ‘menekankan kepentingan untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman di semua kawasan di rantau sempadan India-China,” menurut kementerian lndia dalam satu kenyataan berikutan pertemuan itu.

    Gambar serahan agensi berita Xinhua menunjukkan Narendra Modi (kiri) dan Xi Jinping semasa pertemuan mereka di wilayah Hubei, tengah China, kelmarin. – AFP

    “Mereka telah mengeluarkan panduan strategik kepada tentera masing-masing untuk mengukuhkan komunikasi untuk membina kepercayaan dan kesefahaman bersama dan meningkatkan ramalan dan keberkesanan dalam pengurusan hal ehwal sempadan,” katanya, dengan menambah kedua-dua belah pihak akan ‘bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai langkah bagi membina keyakinan.’

    Dalam kenyataan kementerian luar China menerusi laman sesawangnya, ia berkata Xi telah memberitahu Modi bahawa “hubungan persahabatan mesra antara China-India adalah penting, menjadi faktor positif dalam menjaga keselamatan dunia,” dengan menambah bahawa ‘China dan India seharusnya menjadi jiran dan rakan baik.’

    Walau bagaimanapun, ia tidak ada menyebutkan mengenai pertikaian di sempadan. Sebaliknya, Xi menegaskan bahawa kedua-dua negara secara tradisinya mempunyai ‘dasar luar yang bebas,’ satu rujukan tidak langsung kepada perbincangan India bersama Amerika Syarikat, Australia dan Jepun mengenai keseimbangan terhadap pengaruh China yang semakin bertambah dalam apa yang dirujuk oleh pentadbiran Trump kepada rantau ‘Indo-Pasifik’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda