Thursday, January 30, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    India-China setuju mulakan semula penerbangan terus

    NEW DELHI, 28 JAN – India dan China bersetuju untuk memulakan semula penerbangan terus sebagai tanda peningkatan hubungan antara kedua-dua negara.

    Kedua-dua negara memutuskan “untuk mengambil beberapa langkah berfokuskan rakyat bagi menstabilkan dan membina semula hubungan,” menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India dalam satu kenyataan kelmarin.

    Setiausaha Luar India Vikram Misri mengunjungi Beijing pada Ahad untuk lawatan dua hari dan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar China Sun Weidong.

    “Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengambil langkah yang sesuai bagi mempromosikan dan memudahkan pertukaran rakyat dengan rakyat, termasuk interaksi media dan badan pemikir.

    “Mereka bersetuju secara prinsip untuk menyambung semula penerbangan terus antara kedua-dua negara; pihak berkuasa teknikal yang berkaitan dari kedua-dua belah pihak akan mengadakan pertemuan dan merundingkan rangka kerja terkini untuk tujuan itu pada masa terdekat,” menurut kenyataan India.

    Perjanjian dengan China juga telah dicapai untuk menyambung semula ziarah Hindu ke Kailash Mansarovar pada musim panas ini.

    Hubungan antara kedua-dua negara menyaksikan kemerosotan serius selepas pertembungan maut antara tentera India dan China di Lembah Galwan di wilayah Ladakh pada Jun 2020. Mereka bersetuju pada Oktober tahun lalu untuk menarik balik tentera mereka di kawasan sempadan.

    Semasa lawatannya, Misri telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China Wang Yi dan Menteri Jabatan Antarabangsa Parti Komunis China Liu Jianchao. – Bernama

    Menteri Luar China Wang Yi bertemu dengan Setiausaha Luar India Vikram Misri di Beijing pada 27 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda