Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    India di ambang krisis kemanusiaan

    NEW DELHI, 30 APRIL – Kes koronavirus di India meningkat sekali lagi hari ini, mendorong tentera membuka hospitalnya dalam usaha terdesak untuk mengawal krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh kekurangan katil, ubat-ubatan dan oksigen.

    Dengan 386,452 kes baharu, India kini telah melaporkan lebih daripada 18.7 juta kes sejak pandemik bermula, kedua tertinggi di belakang Amerika Syarikat. Kementerian Kesihatan pada hari ini juga melaporkan 3,498 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, membawa jumlah kepada 208,330. Pakar percaya kedua-dua angka adalah kurang daripada pengiraan sebenar, namun masih tidak jelas tentang jumlah sebenar.

    Bergelut mencari katil hospital, penduduk yang tidak keruan membanjiri aplikasi media sosial dan pesanan dengan rayuan meminta oksigen, ubat dan bilik dalam unit rawatan rapi.

    Ketua tentera India M.M.Naravane bertemu dengan Perdana Menteri Narendra Modi semalam untuk membincang krisis yang melanda negara.

    Naravane berkata penduduk sakit boleh mengunjungi hospital tentera terdekat untuk mendapatkan bantuan. Tentera juga membantu dengan tangki oksigen yang diimport dan kenderaan di mana kemahiran khas diperlukan, kata kenyataan kerajaan.

    India telah mencatat rekod global harian selama lebih seminggu dengan purata 350,000 jangkitan. Kematian harian telah bertambah hampir tiga kali ganda dalam tempoh tiga minggu lalu, mencerminkan tahap peningkatan terbaharu yang amat membimbangkan.

    Di negeri dengan penduduk paling ramai di Uttar Pradesh, sebuah pertubuhan guru sekolah berkata lebih daripada 550 anggotanya telah maut selepas mereka dijangkiti COVID-19 ketika membantu menganjurkan pilihan raya majlis tempatan pada bulan ini, lapor akhbar Times of India.

    Pakar menyalahkan peningkatan ke atas varian virus yang lebih mudah berjangkit dan perhimpunan awam besar seperti rapat politik dan acara keagamaan yang dibenarkan diteruskan. Semalam, jutaan penduduk mengundi dalam pilihan raya negeri di Bengal Barat tanpa menghiraukan penjarakan sosial.

    Manakala di negeri selatan Karnataka, Menteri Hasil R. Ashoka berkata hampir 2,000 pesakit koronavirus di bawah jagaan rumah telah mematikan telefon mereka dan tidak dapat dikesan. Polis berusaha menjejaki mereka kerana mereka mungkin berusaha mencari hospital sendiri untuk mendapatkan rawatan, kata beliau. – AP

    Pekerja kesihatan memasang silinder oksigen untuk pesakit COVID-19 di sebuah hospital sementara di New Delhi, India kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda