Tuesday, July 15, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    India digesa patuhi obligasi antarabangsa

    NEW DELHI, 17 Ogos – Kumpulan-kumpulan hak asasi kemanusiaan hari ini menggesa India supaya mematuhi obligasi sah antarabangsa selepas kerajaan berkata ia bercadang menghantar pulang berpuluh-puluh ribu penghijrah Rohingya.

    Menteri rendah dalam negeri India Kiren Rijiju memberitahu parlimen minggu lalu bahawa kerajaan telah meminta pihak berkuasa kerajaan supaya mengenal pasti dan menghantar pulang penghijrah Rohingya, minoriti etnik tanpa kewarganegaraan yang kebanyakannya tinggal di ne-gara jiran Myanmar, yang mana mereka berdepan penindasan dan keganasan.

    Beberapa tahun kebelakangan, beribu-ribu orang telah lari ke seberang sempadan menuju Bangladesh dan di negara-negara lain termasuklah India, yang tidak mengiktiraf mereka sebagai orang pelarian meskipun PBB berkata mereka adalah orang pelarian.

    Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan dan Amnesty International berkata India seharusnya mematuhi obligasi antarabangsanya.

    “Pihak berkuasa India seharusnya mematuhi obligasi undang-undang antarabangsa India dan tidak secara paksa menghantar mana-mana etnik Rohingya ke Burma tanpa terlebih dahulu dengan adil menilai tuntutan mereka sebagai orang pelarian,” kata Meenakshi Ganguly, pengarah Asia Selatan di Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan, dalam satu kenyataan hari ini.

    Bilangan penghijrah Rohingya telah meningkat beberapa tahun kebelakangan, Rijiju berkata dalam respons bertulis kepada parlimen bahawa kira-kira 40,000 orang tinggal secara haram di India.

    Beribu-ribu orang lari meninggalkan Myanmar selepas tindakan tentera Oktober lalu di negeri Rakhine yang dilancarkan dalam respons terhadap serangan bersenjata di pos sempadan.

    Saksi-saksi telah menceritakan tentang tentera-tentera merogol dan membunuh orang Rohingya dan keseluruhan kampung dibakar dalam kempen yang menurut PBB mungkin menyamai pembersihan etnik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda