Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    India gantung persekutuan gusti dibelenggu skandal

    NEW DELHI, 25 DIS – Kementerian Sukan India berkata kelmarin ia telah menggantung badan induk yang baru dipilih bagi persekutuan gusti yang dibelenggu skandal, de-ngan menuduhnya mengabaikan peraturan dengan mengumumkan kejuaraan secara tergesa-gesa.

    Persekutuan Gusti India (WFI) telah ‘diarahkan untuk menggantung semua aktivitinya sehingga arahan selanjutnya,’ kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

    Ia berlaku hanya beberapa hari selepas Presiden baharu WFI, Sanjay Singh, dipilih menggantikan sekutu rapatnya, seorang ahli parlimen, Brij Bhushan Sharan Singh, yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap ahli gusti wanita.

    Diharapkan undian itu akan membuka jalan untuk menamatkan penggantungan persekutuan oleh United World Wrestling, badan induk antarabangsa, tetapi arahan kerajaan telah menimbulkan keraguan.

    Selepas kemenangannya pada Khamis lalu, Sanjay Singh bertemu dengan bekas ketua persekutuan itu dan mengumumkan kejohanan gusti remaja kebangsaan akan diadakan sebelum akhir tahun.

    Kementerian berkata dalam satu kenyataan, presiden baharu itu sewenang-wenangnya telah mengambil tindakan tersebut dan seolah-olah telah mengawal sepenuhnya kuasa bekas pegawai.

    Ramai ahli gusti terkemuka India telah mengetuai kempen protes bagi menuntut penyingkiran Brij Bhushan Sharan Singh selepas dakwaan itu terbongkar pada Januari.

    Penggubal undang-undang parti pemerintah berusia 66 tahun itu telah menafikan semua pertuduhan dan mendakwa dia adalah mangsa konspirasi untuk memaksanya keluar dari parlimen.

    Kes jenayah terhadapnya sedang berjalan dan boleh menyaksikan dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun jika didapati bersalah.

    Gusti amat popular di kawasan pedalaman di utara India, dan atlet bintang mendapat sokongan daripada orang ramai.

    Presiden baharu itu menewaskan Anita Sheoran, yang memenangi pingat emas di sukan Komanwel 2010 dan menyokong kempen oleh atlet yang menentang pemimpin sebelumnya. Dia juga merupakan saksi dalam kes itu. – AFP

    Sanjay Singh (kanan), merupakan presiden baharu WFI bagi menggantikan Sharan Singh. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda