NEW DELHI, 12 MAC – India menggantung visa pelancongan dan menguatkuasakan larangan perjalanan antarabangsa dalam usaha negara itu mengekang penularan wabak COVID-19.
Semua kategori visa kecuali diplomatik, rasmi, pekerjaan dan yang berkaitan projek, digantung sehingga 15 April, umum kerajaan kelmarin.
Kemudahan tanpa visa kepada pemegang kad Kerakyatan Luar Negara India (OCI) – bukan warganegara tetapi berasal daripada keluarga India yang tinggal di luar negara – digantung sehingga 15 April.
Di samping itu, semua pelancong termasuk warga India, tiba dari atau telah melawat China, Itali, Iran, Korea Selatan, Perancis, Sepanyol dan Jerman selepas 15 Februari akan dikuarantin untuk tempoh minimum 14 hari. Langkah itu berkuat kuasa mulai 1200 GMT pada 13 Mac. – Bernama