Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    India gesa SCO kerjasama perangi pengganasan

    NEW DELHI, 30 APRIL – Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh menggesa anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) pada Jumaat untuk bekerjasama menghapuskan keganasan dan memastikan akauntabiliti bagi mereka yang membantu atau membiayai aktiviti sedemikian, kata kementeriannya.

    “Sebarang jenis tindakan pengganas atau sokongan untuknya dalam apa jua bentuk adalah jenayah besar terhadap kemanusiaan,” Kementerian Pertahanan memetik Singh sebagai berkata pada mesyuarat sehari menteri pertahanan SCO di New Delhi.

    SCO telah diasaskan pada tahun 2001 oleh China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan. Ia kemudiannya diperluaskan untuk merangkumi India dan Pakistan.

    India menuduh musuh lamanya, Pakistan mempersenjatai dan melatih kumpulan pemberontak yang memperjuangkan kemerdekaan Kashmir yang dikuasai India atau integrasinya ke dalam Pakistan, satu tuduhan yang dinafikan Islamabad.

    Di Afghanistan, tindakan Taliban yang mengenakan langkah-langkah baru seperti sekatan ke atas wanita adalah kebimbangan bagi negara anggota SCO.

    Kumpulan itu mengenal pasti keselamatan, perdagangan, pelaburan, perlindungan alam sekitar, teknologi maklumat dan pelancongan di rantau ini sebagai bidang kerjasama utama.

    Singh bertemu dengan Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu di luar mesyuarat itu dan membincangkan hubungan ketenteraan serta perkongsian industri.

    India bergantung kepada Rusia sehingga 60 peratus daripada pembelian senjatanya dan kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi cuba menubuhkan usaha sama untuk membangunkan industri domestik.

    Kedua-dua menteri tersebut turut membincangkan keamanan dan keselamatan serantau dan mengulangi komitmen mereka untuk mengukuhkan perkongsian antara kedua-dua buah negara, khususnya dalam pertahanan, kata kementerian itu. – AP

    Rajnath Singh (dua kiri), Sergei Shoigu (kanan), Jeneral China Li Shangfu (kiri) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Zhang Ming semasa mesyuarat SCO, di New Delhi, India pada 28 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda