DEHRADUN, INDIA, 6 OKT – Para penyelamat meningkatkan usaha mencari kira-kira 20 pendaki yang masih hilang dalam tempoh 24 jam selepas runtuhan salji berlaku di Himalaya yang meragut sembilan nyawa termasuk pendaki pecah rekod wanita.
Kira-kira 41 pelatih dan pengajar pendaki terperangkap dalam runtuhan salji dekat puncak Gunung Draupadi ka Danda II di utara negeri Uttarakhand.
Sembilan mayat telah ditemui setakat ini manakala 12 lagi berjaya diselamatkan, pegawai dari Institut Pergunungan Nehru memberitahu AFP.
Polis kelmarin mengatakan 10 mayat telah ditemukan.
Hari ini, sebuah pasukan dari High Altitude Warfare School telah menyertai pasukan udara India dan agensi bencana tempatan untuk membantu operasi menyelamat yang mencabar. – AFP