NEW DELHI, 15 OKT – Mahkamah Agung India hari ini membenarkan penggunaan mercun hijau sempena sambutan perayaan Diwali di New Delhi, sekali gus melonggarkan larangan penuh walaupun bandar raya itu sedang bergelut dengan tahap pencemaran udara musim sejuk tidak sihat.
Mahkamah berkata penggunaan mercun itu yang dibangunkan oleh institusi penyelidikan persekutuan untuk mengurangkan pelepasan zarah dan gas berbahaya, hanya dibenarkan dalam tempoh terhad antara Sabtu hingga Selasa.
Diwali, perayaan cahaya bagi penganut Hindu, lazimnya disambut dengan pembakaran mercun besar-besaran yang menambah risiko pencemaran udara.
Bagi mengimbangkan warisan budaya dan keperluan alam sekitar, mahkamah menetapkan hanya pengilang berlesen boleh menghasilkan mercun hijau yang diperakui dan penjualan terhad kepada kedai sah dengan setiap produk dilengkapi kod QR menyenaraikan bahan kimia di dalamnya.
Jualan dalam talian kekal diharamkan, manakala polis diarah menubuhkan pasukan rondaan bagi memastikan pematuhan dan agensi kawalan pencemaran diminta memantau serta melaporkan tahap kualiti udara sepanjang tempoh perayaan. – AFP


