Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    India hentikan penjualan pakaian seragam polis kepada Israel

    BENGALURU, 20 OKT – Sebuah firma India menamatkan kontrak jangka panjang untuk membuat pakaian seragam bagi polis Israel, dan memberitahu AFP hari ini bahawa mereka telah membuat keputusan moral berdasarkan peperangan di Gaza.

    Maryan Apparel di negeri selatan Kerala mengatakan mereka telah menyediakan kira-kira 100,000 pakaian seragam kepada pasukan polis Israel untuk setiap tahun sejak 2015.

    “Ia adalah keputusan moral,” kata Pengarah Urusan syarikat itu, Thomas Olickal kepada AFP.

    Olickal berkata dalam satu kenyataan baru-baru ini serangan ke atas sebuah hospital dan kehilangan ribuan nyawa yang tidak bersalah dalam konflik itu telah mendorong keputusan itu.

    Rakyat Israel dan Palestin saling menuduh serangan maut pada Selasa ke atas hospital Ahli Arab di Bandar Gaza.

    Pemimpin global telah mengutuk serangan tersebut dan protes besar-besaran telah meletus di seluruh dunia Islam sebagai tanda solidariti terhadap penduduk Palestin.

    Kumpulan pejuang Islam Palestin, Hamas menuduh Israel menyerang hospital itu semasa kempen pengeboman besar-besarannya,dan Kementerian Kesihatan yang dikendalikan oleh Hamas di Gaza telah meletakkan angka kematian pada 471, walaupun jumlah tersebut dipertikaikan. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda