IMPHAL, 8 JUN – Sebuah negeri di India yang bergolak akibat ketegangan etnik telah mengenakan perintah berkurung dan sekatan Internet selepas penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan berhubung penahanan beberapa ahli kumpulan radikal, kata polis hari ini.
Manipur di timur laut India telah dilanda pertempuran berkala selama lebih dua tahun antara majoriti Meitei beragama Hindu dan komuniti Kuki yang majoritinya Kristian, yang telah meragut lebih 250 nyawa.
Keganasan terbaharu tercetus kelmarin, selepas laporan penahanan lima ahli kumpulan radikal Meitei, Arambai Tenggol, termasuk seorang komander.
Orang ramai yang marah menuntut pembebasan mereka menyerbu sebuah balai polis, membakar sebuah bas dan menyekat jalan di beberapa kawasan di ibu negeri Imphal.
Polis Manipur mengumumkan perintah berkurung di lima daerah, termasuk Imphal Barat dan Bishnupur, berikutan ‘situasi ketenteraman awam yang semakin meruncing’.
“Perintah larangan telah dikeluarkan oleh Pegawai Daerah. Orang ramai diminta memberi kerjasama terhadap arahan ini,” kata polis dalam satu kenyataan.
Arambai Tenggol, yang didakwa mendalangi keganasan terhadap komuniti Kuki, turut mengumumkan penutupan aktiviti selama 10 hari di daerah lembah.
Kementerian Dalam Negeri negeri itu mengarahkan semua perkhidmatan internet dan data mudah alih di daerah-daerah bergolak dihentikan selama lima hari bagi mengawal ketegangan terkini.
Perkhidmatan internet pernah ditutup selama beberapa bulan di Manipur semasa tercetusnya keganasan pada 2023, yang menyebabkan sekitar 60,000 orang kehilangan tempat tinggal menurut angka kerajaan.
Ribuan penduduk negeri itu masih belum dapat pulang ke rumah akibat ketegangan yang berterusan.
Ketegangan antara komuniti Meitei dan Kuki berpunca daripada persaingan mendapatkan tanah dan jawatan dalam perkhidmatan awam. – AFP
