TOKYO, 31 OGOS – Pemimpin India dan Jepun pada Jumaat telah bersetuju untuk memperkukuh hubungan ekonomi serta meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan, tenaga dan lain-lain, ketika kedua-dua kuasa Asia itu berdepan cabaran bersama seperti pengaruh China yang semakin berkembang dan tarif Amerika Syarikat (AS).
Selepas sidang kemuncak mereka di Tokyo, Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba telah bersetuju dengan sasaran untuk meningkatkan pelaburan swasta Jepun di India kepada kira-kira AS$6.8 bilion setahun sepanjang dekad akan datang, berbanding sekitar AS$2.7 bilion setahun pada 2010.
Kedua pemimpin itu juga bersetuju untuk meningkatkan pertukaran pekerja dan pelajar kepada setengah juta orang dalam tempoh lima tahun akan datang.
Kedua-dua pemimpin itu turut mengeluarkan ‘visi bersama’ kerjasama untuk dekad akan datang dalam bidang seperti keselamatan, pertahanan, tenaga bersih, teknologi dan angkasa lepas, serta menandatangani sejumlah 11 dokumen.
Dalam kenyataan bersama berasingan, Ishiba dan Modi menegaskan semula komitmen untuk bekerjasama sebagai sebahagian daripada rangka kerja Quad bersama pemimpin serantau lain, termasuk AS dan Australia dengan tujuan bagi mengimbangi pengaruh China yang semakin meluas.
Sidang kemuncak India-Jepun pada Jumaat itu telah berlangsung beberapa hari selepas Modi bertemu Menteri Luar China, Wang Yi dan memuji hubungan kedua-dua pihak yang semakin baik, selepas bertahun-tahun bertelagah mengenai sempadan Himalaya.
Dalam forum perniagaan pada pagi Jumaat, Modi menggesa syarikat Jepun melabur di India, dengan mengatakan pembaharuan yang dilaksanakan telah mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih telus dan boleh dijangka.
Ishiba pula berkata kedua-dua negara berkongsi nilai sejagat seperti demokrasi dan kedaulatan undang-undang dan “teknologi canggih Jepun serta bakat luar biasa India, ditambah dengan pasaran besar negara itu, saling melengkapi ke arah peluasan dramatik hubungan ekonomi kita.” – AP


