NEW DELHI, 18 JUN – India dan Kanada telah bersetuju untuk memulihkan perkhidmatan diplomatik hampir dua tahun selepas Ottawa menuduh New Delhi terlibat dalam pembunuhan seorang pemimpin pemisah Sikh, yang menyebabkan hubungan antara kedua-dua negara menjadi tegang.
Pengumuman itu telah dibuat selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi dan rakan sejawatnya dari Kanada, Mark Carney, bertemu kelmarin di Sidang Kemuncak G7 di Kananaskis, Alberta.
“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk melantik pesuruhjaya tinggi baharu, dengan matlamat mengembalikan perkhidmatan biasa kepada rakyat dan komuniti perniagaan di kedua-dua negara,” menurut kenyataan dari pejabat Carney.
Modi dan Carney menekankan kepentingan hubungan dua hala yang berasaskan rasa saling hormat-menghormati dan komitmen terhadap prinsip kedaulatan wilayah, tambah kenyataan itu.
Mereka turut membincangkan kerjasama lanjut dalam beberapa sektor termasuk teknologi, peralihan digital, keselamatan makanan dan mineral kritikal.
Sementara itu, Kementerian Luar India turut menekankan kepentingan untuk memulakan semula pertemuan antara menteri kanan bagi ‘membina semula kepercayaan dan menghidupkan semula momentum hubungan’.
Bekas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, mengejutkan dunia pada September 2023 apabila beliau mengumumkan di Parlimen, terdapat dakwaan boleh dipercayai tentang penglibatan India dalam pembunuhan Hareep Singh Nijjar berhampiran Vancouver.
Kerajaan India telah mengisytiharkan Nijjar sebagai pengganas pada 2020 di bawah undang-undang yang bertujuan membanteras penentangan. Nijjar, seorang aktivis kemerdekaan Sikh dan tokoh gerakan Khalistan yang diharamkan di India, dilihat sebagai pejuang hak asasi manusia oleh organisasi Sikh.
Kebimbangan India terhadap kumpulan pemisah Sikh telah lama menjejaskan hubungannya dengan Kanada, di mana kira-kira dua peratus penduduknya adalah daripada keturunan Sikh tersebut. – AP
