SRIHARIKOTA, INDIA, 14 JULAI – India melancarkan roket pada hari ini yang membawa kapal angkasa tanpa pemandu untuk mendarat di bulan, percubaan kedua dalam program angkasa yang berusaha mencapai peringkat yang lebih tinggi.
Roket LVM3-M4 berlepas dari Sriharikota di negeri selatan Andhra Pradesh dengan membawa kapal angkasa Chandrayaan-3, ketika beribu-ribu peminat bertepuk tangan dan bersorak.
“Chandrayaan-3… telah memulakan perjalanannya ke bulan. Keadaan kapal angkasa adalah normal,” kata Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) di Twitter.
Negara yang paling ramai penduduk di dunia itu mempunyai program aeroangkasa berbajet rendah yang semakin hampir melakar peristiwa penting yang dicatat oleh kuasa angkasa global.
“Chandrayaan-3 mencatat lembaran baharu dalam pengembaraan angkasa lepas India,” kata Perdana Menteri Narendra Modi di Twitter dari Perancis, di mana beliau menjadi tetamu kehormat pada perarakan Hari Bastille di Paris.
“Ia meluncur tinggi, membawa bersama impian dan cita-cita setiap penduduk India.”
Jika misi berjalan lancar seperti yang dirancang, Chandrayaan-3, yang bermaksud ‘kapal angkasa bulan’ dalam bahasa Sanskrit, akan selamat mendarat berhampiran kutub selatan bulan yang jarang diterokai antara 23 dan 24 Ogos. – AFP