Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    India larang perceraian segera

    NEW DELHI, 29 Dis – Dewan Rakyat India yang berpengaruh semalam telah meluluskan rang undang-undang yang menjadikan amalan penceraian serta-merta menyalahi undang-undang dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun bagi suami-suami yang melakukan pelanggaran.

    Rang undang-undang itu dibuat beberapa bulan selepas Mahkamah Tinggi India memerintahkan amalan Islam yang membolehkan lelaki untuk serta-merta menceraikan isteri adalah tidak mengikut perlembagaan.

    Beberapa parti pembangkang mengkritik kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi kerana tidak membincangkan perundangan itu dengan mereka sebelum memperkenalkannya dalam parlimen semalam. Rang undang-undang yang telah diluluskan itu akan dibawa ke Dewan Negara, di mana ia perlu diluluskan sebelum ia dijadikan undang-undang.

    Lebih 20 buah negara Islam termasuklah negara jiran Pakistan dan Bangladesh telah mengharamkan amalan itu. Tetapi di India, amalan itu telah berterusan dengan perlindungan undang-undang yang membolehkan masyarakat Islam, Kristian dan Hindu mengikut undang-undang agama dalam perkara seperti perkahwinan, penceraian, pewarisan dan pengambilan anak angkat.

    Sementara kebanyakan undang-undang persendirian Hindu telah dibaik pulih dan dikanunkan, di mana undang-undang Islam diletakkan di bawah pihak berkuasa agama dan sebahagian besarnya tidak disentuh.

    Aktivis hak asasi kemanusiaan wanita Zakia Soman berkata itu adalah undang-undang yang begitu diperlukan oleh wanita Islam yang berdepan penindasan undang-undang dengan wanita Hindu dan Kristian menikmati perlindungan di bawah undang-undang berasingan.

    Kebanyakan dari 170 juta orang Islam di India adalah mahzab Sunni yang ditadbir oleh Undang-undang Persendirian Islam bagi urusan keluarga dan pertelagahan.

    Undang-undang itu termasuklah membenarkan lelaki menceraikan isteri dengan hanya menyebut perkataan dalam bahasa Arab ‘talak’ atau cerai, tiga kali dan tidak semestinya berturut-turut tetapi pada bila-bila masa dan dengan sebarang kaedah termasuklah telefon, pesanan ringkas atau melalui penghantaran ke media sosial.

    Kamal Farooqi, seorang pemimpin Lembaga All India Muslm Personel, sebuah perkumpulan tertinggi pertubuhan Islam, berkata pertubuhan itu membantah amalan perceraian serta-merta tetapi membantah kerajaan atau mahkamah campur tangan dalam undang-undang agama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda