NEW DELHI, 15 OGOS – Perdana Menteri Narendra Modi hari ini berkata India sedang berusaha mencapai kebergantungan kendiri dalam kebebasan tenaga serta membangunkan sistem pertahanan berkuasa milik sendiri, sambil berikrar mempertahankan kepentingan negaranya ‘seperti benteng yang kukuh.
Modi menyampaikan ucapan tahunan Hari Kemerdekaan dari kubu megah Red Fort di New Delhi ketika India berdepan tekanan hebat dan ancaman tarif tambahan daripada Amerika Syarikat (AS).
“Kebergantungan kendiri adalah asas kepada kemajuan India,” kata Modi selepas acara lintas terbang helikopter tentera yang menaburkan kelopak bunga di hadapan ribuan tetamu jemputan.
“Kemerdekaan menjadi tidak bermakna jika seseorang terlalu bergantung kepada pihak lain.”
Hubungan antara New Delhi dan Washington tegang susulan keputusan Presiden Donald Trump meminta India menghentikan pembelian minyak Rusia, salah satu sumber pendapatan utama Moscow ketika ia meneruskan serangan ketenteraan di Ukraine.

India menyatakan ia ‘bersedia’ menyokong usaha menamatkan perang Ukraine dan menyokong sidang kemuncak yang akan diadakan antara Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin di Alaska pada Jumaat.
Namun AS berkata ia akan menggandakan tarif import baharu ke atas India daripada 25 peratus kepada 50 peratus menjelang 27 Ogos jika New Delhi tidak menukar pembekal minyak mentahnya.
“Kita sedar bahawa kita masih bergantung kepada banyak negara untuk memenuhi keperluan tenaga,” kata Modi, pemimpin negara paling ramai penduduk di dunia dan ekonomi kelima terbesar dunia.
“Tetapi untuk membina India yang benar-benar berdikari, kita mesti mencapai kebebasan tenaga.”
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam kenyataan tahniah sempena Hari Kemerdekaan India, berkata hubungan antara kedua-dua negara adalah ‘penting dan meluas’ serta mahu ‘memastikan masa depan lebih cerah untuk kedua-dua negara’. – AFP

