NEW DELHI, 16 Ogos – Kerajaan India mahu Google, Facebook, WhatsApp, Instagram, Microsoft dan Yahoo memadamkan permainan dalam talian ‘Blue Whale Challenge’ yang dikategorikan sebagai “permainan berbahaya”, memetik sumber All India Radio (AIR).
Permainan dalam talian itu dilaporkan menyumbang kepada kes membunuh diri dalam kalangan kanak-kanak di India dan di negara lain, lapor agensi berita China Xinhua.
Menerusi surat yang dihantar Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat kepada pihak berkenaan terdapat kes kanak-kanak membunuh diri kerana terlalu taksub dengan permainan itu.
Permainan itu memerlukan pemain menyelesaikan tugasan diberikan dalam tempoh 50 hari dan tugasan terakhir ialah perlu membunuh diri.
Peserta juga diminta berkongsi gambar dalam aksi ‘berani’ selepas menyelesaikan setiap tahap permainan dan foto itu kemudian disebar melalui pautan pada platform media sosial. – Bernama