Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    India mansuh status Kashmir, kawalan ketat

    NEW DELHI, 5 OGOS – Kerajaan India hari ini bertindak memansuhkan peruntukan perlembagaan yang memberikan status istimewa kepada negeri Jammu dan Kashmir di tengah-tengah kawalan ketat keselamatan di rantau Himalaya itu.

    Menteri Dalam Negeri, Amit Shah telah memperkenalkan satu resolusi di parlimen bagi membatalkan Perkara 370 perlembagaan yang memberikan autonomi kepada Jammu dan Kashmir.

    Pemberitahuan itu, yang ditandatangani Presiden Ram Nath Kovind, mendwicabangkan negeri tersebut kepada dua wilayah Jammu dan Kashmir, serta Ladakh yang ditadbir secara persekutuan.

    Ladakh tidak akan memiliki badan perundangan namun Jammu dan Kashmir bakal mempunyai satu dewan perhimpunan, meskipun dengan kuasa yang berkurangan berbanding apa yang dinikmati di bawah status istimewa serta bersejarahnya sebelum ini.

    Rantau itu, termasuk dua pusat bandar utamanya iaitu Srinagar dan Jammu, telah diletak di bawah kawalan keselamatan yang dipertingkatkan sejak Ahad kerana keputusan kerajaan mungkin mencetuskan kekacauan.

    Aktivis dan penyokong parti sayap kiri India melaungkan slogan semasa demonstrasi terhadap dekri presiden menghapuskan Artikel 370 peruntukan perlembagaan yang memberikan status istimewa kepada negeri Jammu dan Kashmir, di New Delhi, 5 Ogos. – AFP

    Pemimpin serantau terkemuka, termasuk bekas-bekas ketua menteri Omar Abdullah dan Mehbooba Mufti, telah diletak di bawah tahanan rumah selain keadaan keselamatan adalah seperti perintah berkurung dan kebanyakan perkhidmatan komunikasi dipotong.

    Status perlembagaan istimewa itu sebelum ini telah menghalang orang luar membeli hartanah di Jammu dan Kashmir serta memegang jawatan rasmi dalam kerajaan.

    Mehbooba berkata langkah itu (memansuhkan status autonomi) telah diambil oleh kerajaan pimpinan parti nasionalis Bharatiya Janata bagi mengubah demografi negeri yang majoriti penduduknya beragama Islam.

    “Ia akan mendatangkan akibat-akibat yang membawa bencana kepada benua kecil itu,” beliau memberi amaran menerusi Twitter.

    Satu pertemuan pemimpin politik Kashmir, yang berlangsung di kediaman bekas ketua menteri Farooq Abdullah di Srinagar pada Ahad, telah memutuskan untuk membantah sebarang pelanggaran terhadap jaminan perlembagaan sedia ada.

    Rantau itu, yang berpecah sejak pemisahan Asia Selatan pada 1947, dipegang sebahagiannya oleh Pakistan manakala sebahagian lagi oleh India, dan dituntut secara keseluruhan oleh kedua-dua negara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda