Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    India meterai kontrak AS$7 bilion beli 97 pesawat pejuang

    NEW DELHI, 25 SEPT – India hari ini menandatangani kontrak tempahan AS$7 bilion untuk 97 pesawat pejuang Tejas yang direka dan dibina di dalam negara itu ketika tentera udaranya menamatkan khidmat pesawat MiG-21 Rusia selepas digunakan selama beberapa dekad.

    Pesawat Tejas pertama yang bermaksud ‘kecemerlangan’ telah digunakan dalam angkatan tentera udara pada 2016, dengan tempahan terbaharu untuk versi generasi keempat pesawat pejuang itu, Mk-1A.

    India, salah satu pengimport senjata terbesar di dunia, telah menjadikan pemodenan pasukannya satu keutamaan dan melaksanakan beberapa usaha untuk meningkatkan pengeluaran senjata tempatan.

    Kementerian Pertahanan India berkata ia telah menandatangani kontrak dengan Hindustan Aeronautics Limited (HAL) iaitu pengeluar senjata pertahanan kerajaan untuk perolehan 97 Pesawat Tempur Ringan (LCA) Mk-1A, termasuk 68 pesawat pejuang dan 29 pesawat yang mempunyai tempat duduk berkembar.

    “Penghantaran pesawat akan bermula pada 2027-28 dan selesai dalam tempoh enam tahun,” tambah Kementerian Pertahanan.

    Pesawat Tejas yang ditempah adalah jenis pesawat pejuang paling canggih yang direka dan dibuat tempatan,” tambah Kementerian Pertahanan, dan ia akan menjadi platform yang kukuh untuk tentera udara.

    India akan mengadakan upacara terbang lintas hormat esok di pangkalan tentera udara utama di Chandigarh, penerbangan terakhir MiG-21 era Soviet mereka, yang digunakan sejak 1960an. – AFP

    Gambar fail bertarikh 13 Februari 2025 menunjukkan pesawat pejuang Tejas bersedia untuk berlepas di Stesen Tentera Udara Yelahanka di Bengaluru. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda